Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

05 March 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Ukur dan Pemetaan

Nombor Soalan

74

Soalan

Tuan Tan Kar Hing [ Gopeng ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status semasa pengukuran sempadan darat antarabangsa di antara Malaysia dengan negara-negara jiran dan bila dijangka akan dapat memuktamadkan sempadan-sempadan ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia berkongsi sempadan darat antarabangsa dengan tiga (3) negara jiran iaitu Indonesia, Thailand dan Brunei Darussalam. Berikut adalah status semasa bagi kerja-kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat antarabangsa sehingga bulan Disember 2024.

A.  Malaysia (Sabah dan Sarawak) dengan Indonesia (Kalimantan Utara dan Kalimantan Barat)

  1. Malaysia dan Indonesia telah memulakan usaha untuk merundingkan, menanda dan mengukur sempadan darat pada tahun 1974. Anggaran jarak keseluruhan sempadan darat antarabangsa Malaysia - Indonesia adalah sepanjang 2,064 km. Daripada jumlah tersebut, 1,943.2 km atau 94.1% telah selesai dan dimuktamadkan melalui pemeteraian sebanyak 22 Memorandum of Understanding atau MoU;

  2. Baki jarak yang belum dimuktamadkan adalah sepanjang 120.8 km atau 5.9% melibatkan tujuh (7) kawasan Outstanding Boundary Problem atau OBP sepanjang 96.9 km iaitu tiga (3) di sektor Sabah - Kalimantan Utara sepanjang 44 km dan empat (4) di sektor Sarawak - Kalimantan Barat sepanjang 52.9 km. Selain itu, terdapat satu (1) kawasan di barat perairan Pulau Sebatik sepanjang 23 km yang masih belum dimuktamadkan dan satu (1) kawasan intertidal di timur Pulau Sebatik sepanjang 870 meter yang sedang dalam peringkat perundingan antara kedua-dua negara; dan


  1. MoU bagi tiga (3) OBP di sektor Sabah - Kalimantan Utara dan satu (1) kawasan di barat perairan Pulau Sebatik yang telah selesai ditanda dan diukur dijadualkan untuk dimeterai pada tahun ini. Selepas pemeteraian MoU tersebut, rundingan bagi penyelesaian empat (4) OBP di sektor Sarawak - Kalimantan Barat akan dimulakan, sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara. Manakala penyelesaian bagi kawasan intertidal di timur Pulau Sebatik akan terus dirundingkan di mana-mana platform yang bersesuaian.

B.  Malaysia dengan Thailand

  1. Bagi sempadan darat Malaysia - Thailand, usaha untuk merundingkan, menanda dan mengukur sempadan darat telah dimulakan pada tahun 1973. Anggaran jarak keseluruhan sempadan darat antarabangsa kedua-dua negara adalah 662 km. Daripada jumlah tersebut, 543 km atau 82% telah selesai dan dimuktamadkan melalui pemeteraian 11 MoU.


  1. Baki 119 km atau 18% yang masih belum selesai melibatkan dua (2) kawasan iaitu pertama, sempadan di sepanjang Sungai Golok berjarak 106 km dan kedua, kawasan di sekitar Bukit Jeli, Kelantan dengan anggaran jarak 13 km. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) komited untuk menyelesaikan kedua-dua kawasan ini melalui proses rundingan dengan pihak Thailand. Dalam hal ini, fokus akan diberikan kepada pemeteraian Perjanjian Sungai Golok terlebih dahulu memandangkan kerja-kerja penandaan dan pengukuran di sepanjang sungai berkenaan telah selesai dan terdapat banyak aktiviti manusia melibatkan kawasan ini di kedua-dua belah negara.

C.  Malaysia dengan Brunei Darussalam

  1. Bagi sempadan darat Malaysia - Brunei Darussalam, usaha untuk merundingkan, menanda dan mengukur sempadan darat antarabangsa telah dimulakan pada tahun 2012. Jarak keseluruhan sempadan darat kedua-dua negara dianggarkan sepanjang 528.5 km. Kerja-kerja penandaan dan pengukuran telah dimulakan pada bulan April 2014 dan sehingga Disember 2024, sepanjang 175.9 km atau 33.3% telah siap ditanda dan diukur. Pencapaian ini telah dimuktamadkan melalui pemeteraian satu (1) MoU pada 26 Ogos 2024.


  1. Kedua-dua negara juga telah bersetuju dan mensasarkan untuk menyelesaikan kerja-kerja penandaan dan pengukuran bagi baki jarak sepanjang 352.6 km atau 66.7% selewat-lewatnya pada tahun 2034.

 Sekian, terima kasih.



Attachments