Tuan Yang di-Pertua,
1. Saya mengambil maklum terdapat pihak yang cuba memainkan sentimen bahawa Tanah Rizab Melayu (TRM) semakin berkurangan. Tetapi ingin saya tegaskan di sini bahawa dakwaan ini tidak benar dan berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pihak Berkuasa Negeri, keluasan keseluruhan TRM di Semenanjung Malaysia sehingga 30 Jun 2024 adalah seluas 4,955,870.89 hektar dan tidak termasuk Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai Enakmen Rizab Melayu. Dalam hubungan ini, keluasan TRM di Semenanjung Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 593,354.41 hektar atau 11.97% bagi tempoh 10 tahun kebelakang iaitu tahun 2014.
2. Dimaklumkan bahawa perkara-perkara berhubung TRM adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri. Meskipun begitu, isu-isu berkaitan TRM juga sentiasa dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang telah diwujudkan untuk merundingkan perkara-perkara berhubung tanah antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Negeri sentiasa komited untuk memastikan kepentingan TRM sentiasa terpelihara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
3. Kementerian ini yang berperanan sebagai penyelaras untuk pengumpulan data TRM telah membangunkan satu sistem pangkalan data bagi tujuan penyimpanan maklumat TRM secara spatial. Sistem tersebut akan menjadi rujukan kepada pembuat dasar sama ada di peringkat Agensi Pusat atau Pihak Berkuasa Negeri untuk merancang pembangunan fizikal negara.
Sekian, terima kasih.