Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 05 March 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 17 | Soalan | Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah Kementerian bagi membanteras kemasukan e-waste yang diseludup secara haram dan diproses di Malaysia seperti mana yang berlaku baru-baru ini. Ini kerana sejak kebelakangan ini, Malaysia menjadi destinasi utama lambakan e-waste global khususnya dari Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Jepun dan sebagainya.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) komited untuk membanteras kemasukan e-waste yang diseludup secara haram dan diproses di Malaysia.
2. Kawalan ketat terhadap kemasukan e-waste ke dalam Negara ini dilaksanakan dengan mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta selaras dengan peraturan antarabangsa seperti Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.
3. Bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan sebagai destinasi lambakan sisa elektrik dan elektronik dari negara lain, Malaysia telah menetapkan polisi pengimportan dan pengeksportan buangan terjadual seperti berikut:
Pengimportan dan pengeksportan buangan terjadual termasuk e-waste bagi tujuan pelupusan adalah dilarang; dan
Pengimportan buangan terjadual termasuk e-waste oleh kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual adalah tidak dibenarkan. Kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual dilesenkan bagi tujuan mengurus dan memproses buangan terjadual yang dihasilkan di dalam Negara sahaja.
4. Kejayaan penahanan kontena di Pelabuhan Klang serta intipan dan serbuan secara bersepadu yang dilaksanakan di seluruh Negara bersama beberapa agensi Kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan dalam menangani isu pengimportan e-waste secara haram.
5. Kementerian dengan penguatkuasaan JAS juga terus komited untuk mengawal kemasukan e-waste melalui pelabuhan dengan langkah-langkah seperti berikut:
Memperkukuhkan mekanisme penguatkuasaan dan meningkatkan kerjasama oleh semua agensi yang terlibat di pelabuhan tersebut termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, pihak berkuasa pelabuhan dan JAS;
Meningkatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa termasuk Seketariat Konvensyen Basel, Asian Network, Enforce, Interpol dan lain-lain agensi dalam aspek penyaluran maklumat mengenai kapal yang membawa kontena-kontena yang disyaki mengandungi e-waste yang akan masuk melalui pelabuhan tersebut; dan
Meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi di dalam Negara terutamanya yang melibatkan penguatkuasaan terhadap operasi kilang haram secara bersepadu yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pejabat Tanah dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Kawal Selia Air Negeri, Syarikat Bekalan Air, Suruhanjaya Tenaga, Tenaga Nasional Berhad bagi memastikan kilang-kilang yang menjalankan aktiviti pemprosesan e-waste secara haram dapat ditangani melalui tindakan yang tegas dapat diambil.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|