Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

05 March 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

1

Soalan

Dato' Ngeh Koo Ham [ Beruas ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah tindakan susulan yang akan diambil oleh Kerajaan di Jajahan Gua Musang, Kelantan memandangkan beberapa orang telah dibunuh oleh gajah dan harimau kebelakangan ini di kawasan tersebut dan penduduk hidup dalam ketakutan dan banyak tanam-tanaman telah dirosakkan oleh gajah-gajah yang berkeliaran.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memandang serius mengenai konflik manusia hidupan liar termasuk gajah dan harimau yang berlaku di Gua Musang. Berdasarkan rekod Jabatan PERHILITAN, sebanyak 337 aduan konflik hidupan liar telah diterima pada tahun 2024 yang melibatkan sebanyak 218 aduan konflik berkaitan gajah dan 47 aduan berkaitan harimau.


2. Jabatan PERHILITAN telah mengambil tindakan bagi menangani konflik manusia hidupan liar yang melibatkan gajah dan harimau di Gua Musang antaranya seperti berikut:


  1. Melaksana 306 kali kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik yang terletak di dalam kawasan habitat hidupan liar;


  1. Memasang 15 unit perangkap apabila menerima aduan konflik harimau serta menjalankan 10 kali operasi tangkap pindah yang melibatkan gajah;


  1. Membina 2 unit Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal di Kampung Orang Asli Pos Pasik dan Kampung Orang Asli Pos Aring 5 bagi mengelak kemasukan gajah liar ke kawasan penempatan dan kebun penduduk;


  1. Menggalakkan penternak haiwan membina kurungan ternakan dengan lebih kukuh dan menguruskan haiwan ternakan dengan lebih sistematik dan bertanggungjawab bagi mengurangkan konflik harimau;


  1. Mengadakan 4 kali program kesedaran awam bersama masyarakat setempat bagi memberi kesedaran kepada penduduk mengenai pengurusan konflik hidupan dan manusia; dan


  1. Mengadakan sebanyak 5 kali sesi libat urus bersama dengan pemegang taruh yang terlibat dengan pembangunan tanah di habitat hidupan liar serta pengurusan konflik hidupan liar.

3. Selain itu, Jabatan PERHILITAN juga telah membangunkan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya 2021-2030 dan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan 2023-2030 (NECAP 2.0) sebagai panduan dalam pengurusan konservasi serta krisis harimau dan gajah yang lebih menyeluruh.


4. Kerajaan telah melaksanakan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada tahun 2024 yang diterajui oleh NRES melalui Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Jabatan Hidupan Liar Sabah di Sabah dan Sarawak Forestry Corporation di Sarawak.


5. BKHT merupakan bantuan bentuk kewangan yang diberikan secara one-off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Pada tahun 2024, seramai 246 pemohon telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan jumlah bantuan sebanyak RM978,000.00


Sekian, terima kasih.​

Attachments