Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 March 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perhutanan

Nombor Soalan

72

Soalan

Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kasim [ Arau ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah konkrit yang sedang diambil oleh Kementerian untuk mencegah serta membanteras aktiviti pencerobohan hutan secara haram di Malaysia terutamanya di Pahang seperti hutan di Cameron Highlands, Rompin, Lipis dan lain-lain kawasan yang berkaitan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, statistik pelanggaran undang-undang perhutanan di Negeri Pahang mulai tahun 2020 hingga tahun 2024 ialah sebanyak 363 kes yang merangkumi sejumlah 336 dan 27 kes masing-masing bagi kesalahan hutan dan pembalakan haram. 


2. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil perhatian serius ke atas sebarang aktiviti pencerobohan dan penerokaan haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam membanteras aktiviti pencerobohan haram. Antaranya: 


  1. Pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2022, antara lain turut meliputi peningkatan kadar dan penetapan hukuman yang lebih berat ke atas kesalahan-kesalahan hutan termasuk pengambilan hasil hutan secara haram. Pindaan ini melibatkan kenaikan kadar hukuman kesalahan hutan, iaitu denda maksimum bermula RM20 ribu hingga RM5 juta berbanding akta asal, iaitu di antara RM10 ribu hingga RM500 ribu. Selain itu, hukuman penjara maksimum turut dinaikkan kepada 7 tahun hingga 20 tahun. Peningkatan kadar hukuman dan penalti ini adalah sebagai satu usaha pencegahan (deterrence) kepada masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam jenayah kesalahan hutan;


  1. Mesyuarat MTN Ke-79 pada tahun 2021 juga telah bersetuju supaya semua kerajaan negeri melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022;


  1. Pusat Pemantauan Sumber Hutan (War Room @ JPSM) yang ditadbir oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menjalankan pemantauan berterusan menggunakan imej satelit terkini bagi keseluruhan HSK di Semenanjung Malaysia secara harian dan menyasarkan keseluruhan kawasan HSK. Maklumat-maklumat perisikan hasil pemantauan ini akan disalurkan kepada Pengarah Perhutanan Negeri yang berkaitan untuk pengesahan dan semakan di lapangan. Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan sekiranya terdapat kes kesalahan hutan; dan


  1. Mempergiat kerjasama dan koordinasi yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri dalam memantau aktiviti pembalakan dan pencerobohan hutan di seluruh negara. Ia termasuk melalui penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Operasi Hutan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Operasi Bersepadu Khazanah di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM). 


Sekian, terima kasih.​

Attachments