Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil berat terhadap isu serangan hidupan liar seperti gajah, harimau dan beruang yang semakin kerap berlaku termasuk di Terengganu.
2. Jabatan PERHILITAN telah menerima sebanyak 145 aduan konflik hidupan liar di Hulu Terengganu pada tahun 2024 yang melibatkan sebanyak 45 aduan gajah, 23 aduan harimau dan 21 aduan beruang. Antara langkah yang telah dan akan diambil oleh Jabatan PERHILITAN dalam menangani isu serangan hidupan liar ialah seperti berikut:
Melaksanakan sebanyak 156 kali kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik yang terletak di dalam kawasan habitat hidupan liar;
Memasang 4 perangkap bagi spesies harimau sekiranya terdapat aduan konflik harimau serta menjalankan 6 kali operasi tangkap pindah yang melibatkan gajah dan hidupan liar lain;
Menggalakkan penternak haiwan membina kurungan ternakan dengan lebih kukuh dan menguruskan haiwan ternakan dengan lebih sistematik dan bertanggungjawab bagi mengurangkan konflik harimau;
Membina satu (1) Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di Kg. Lawit ke Belukar Bukit, Hulu Terengganu sepanjang 29.5 km bagi mengelakkan gajah memasuki kebun atau ladang. Sebanyak dua (2) lagi SPEG akan dibina di Kg. Gerdong sepanjang 12 km dan Kg. Lubuk Periuk sepanjang 10 km di Hulu Terengganu;
Mengadakan empat (4) kali program kesedaran awam bersama masyarakat setempat bagi memberi kesedaran kepada penduduk mengenai pengurusan konflik hidupan dan manusia; dan
Mengadakan dua (2) kali sesi libat urus bersama pemegang taruh yang terlibat dengan pembangunan tanah di habitat hidupan liar serta pengurusan konflik hidupan liar.
3. Kerajaan melalui NRES juga telah memperkenalkan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) pada tahun 2024. BKHT adalah bantuan yang diberikan secara one-off kepada kumpulan sasar yang mengalami kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Pada tahun 2024, seramai 246 pemohon telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan jumlah bantuan sebanyak RM978,000.00.
4. Bagi orang awam yang tercedera atau keluarga yang mengalami kehilangan nyawa, mereka akan dibantu di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (KWABMSBB) yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meringankan beban mangsa atau keluarga.
Sekian, terima kasih.