Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 March 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geosains, Air

Nombor Soalan

58

Soalan

Tuan Suhaizan bin Kaiat [ Pulai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status keberkesanan projek pemetaan dan penilaian sumber air bawah tanah negara bagi menangani kesan perubahan iklim yang kini menjadi semakin meruncing. Apakah telah dirancang atau dilaksanakan projek air bawah tanah. Apakah air bawah tanah ini ekonomik untuk digunakan di Malaysia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Dalam keadaan perubahan iklim dunia dan permintaan air yang semakin meningkat, negara perlu berusaha untuk menyediakan bekalan air bersih yang mencukupi bagi memenuhi keperluan permintaan sejajar dengan pertambahan penduduk dan pembangunan negara. Pada masa ini, sebahagian besar bekalan air bersih diperolehi daripada sumber air permukaan iaitu dari tasik dan sungai.


2. Sehubungan itu, sumber air bawah tanah perlu diteroka dan dinilai keupayaannya dari segi kuantiti dan kualiti bagi menambah sumber air negara supaya tidak terlalu bergantung kepada sumber air permukaan. Air bawah tanah mempunyai potensi yang amat besar sebagai sumber bekalan air konjungtif terutamanya di kawasan permintaan tinggi dan sebagai punca air utama bagi kawasan terpencil. Ini kerana sumber ini mudah ditemui dan kos pembekalan dan selenggara yang rendah. Air bawah tanah merupakan salah satu sumber air yang ekonomik dan boleh dimajukan untuk tujuan pembekalan sama ada untuk keperluan domestik, pertanian mahupun industri.


3. Di bawah Projek Kajian Pemetaan Air Bawah Tanah (PABT), Kementerian menerusi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah diluluskan sebanyak RM31.8 juta di bawah RMKe-12 untuk kajian di tiga (3) buah Negeri iaitu Kedah, Melaka dan di Sabah. Antara output projek ini ialah penghasilan peta hidrogeologi komprehensif yang menunjukkan lokasi dan potensi air bawah tanah (potential reserve & safe yield) untuk diusaha hasil serta pembinaan sistem pemantauan air bawah tanah secara telemetri dan masa nyata.


4. Maklumat data hidrogeologi ini boleh digunakan oleh Kerajaan Negeri/ Pihak Berkuasa Air Negeri untuk membangunkan sumber air bawah tanah namun penggunaan sumber air bawah tanah adalah bergantung kepada ketersediaan negeri tersebut. Pada masa ini, sebahagian besar konsesi yang bertanggungjawab merawat dan membekalkan air di negeri-negeri lebih memfokuskan kepada penggunaan air permukaan. Hal ini disebabkan fasiliti dan loji rawatan sedia ada hanya direka untuk merawat air permukaan.


Sekian, terima kasih.​

Attachments