Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 March 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

52

Soalan

Tuan Mordi Bimol [ Mas Gading ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah yang sedang diambil oleh Kementerian untuk menyokong pembangunan sektor perlombongan di  Sarawak, khususnya bagi memastikan potensi projek perlombongan emas di Bau yang memiliki simpanan emas bernilai RM24.3 bilion ini dilaksanakan secara lestari tanpa menjejaskan ekosistem kawasan sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Pada masa ini, terdapat sebanyak 19 buah lombong yang sedang beroperasi di Sarawak yang terdiri dari 18 buah lombong arang batu dan sebuah lombong pasir silika. Kesemua lombong ini beroperasi secara lombong dedah kecuali sebuah lombong arang batu di Bahagian Sri Aman menjalankan kaedah perlombongan bawah tanah. Lombong arang batu yang beroperasi secara lombong dedah membekalkan bahan bakar kepada tiga (3) buah loji janakuasa arang batu (Coal-Fired Power Plant) bagi negeri Sarawak, manakala sebuah lombong arang batu yang beroperasi secara lombong bawah tanah, hasil pengeluarannya digunakan sebagai bahan campuran dalam pembuatan besi keluli berkualiti tinggi.


2. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), sebanyak RM1.2 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyokong industri pembangunan mineral Sarawak melalui projek kajian penilaian potensi sumber unsur nadir bumi (REE) Sarawak.


3. Berhubung dengan potensi perlombongan emas di Sarawak, sehingga kini lombong emas di Daerah Bau, Kuching masih belum memulakan operasi. Walau bagaimanapun maklumat berkaitan dengan rizab emas dan kawasan yang berpotensi untuk diusahahasilkan telah dikenalpasti berdasarkan keputusan kerja-kerja carigali yang dijalankan oleh pemegang lesen carigali di kawasan Bau. Mengikut rekod carigali yang dilaporkan, potensi rizab emas adalah sebanyak 102.6 juta gram (3.3 juta troy ounce) dengan nilai sebanyak RM 38.9 bilion (berdasarkan harga emas RM378 per gram). Anggaran ini dibuat berdasarkan piawaian antarabangsa Australasian Joint Ore Reserved Committee (JORC Code 2012 Edition). Penemuan rizab emas ini melibatkan jajaran logam sejauh 15 km daripada kawasan Jugan hingga Pejiru di Bau. Penemuan ini juga telah meletakkan Bau di kedudukan ke- 13 kawasan yang mempunyai rizab emas terbanyak di Asia.


4. Bagi memastikan aktiviti perlombongan dapat dilaksanakan secara cekap dan teratur tanpa menjejaskan ekosistem alam sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains telah menyediakan Prosedur Operasi Standard Kawalselia Operasi Perlombongan Emas di Sarawak (Standard Operating Procedure for Regulating Gold Mining Operations in Sarawak). Prosedur operasi standard (SOP) ini telah dibentangkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) Sarawak.


5. SOP Kawalselia Operasi Perlombongan Emas di Sarawak ini dibangunkan merangkumi prosedur di peringkat sebelum, semasa dan selepas perlombongan. Ia bertujuan bagi memastikan aktiviti perlombongan sentiasa dijalankan mengikut perundangan, prosedur, amalan kejuruteraan perlombongan terbaik (best mining practices).


Sekian, terima kasih.​

Attachments