Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a)
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam proses menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN). Melalui RUUPIN, Kerajaan berhasrat untuk memastikan dasar dan perundangan yang digubal kekal relevan dengan perkembangan terkini, sama ada di peringkat domestik mahupun global.
2. RUU ini dijangka akan membolehkan negara mengoperasikan tindakan iklim yang digariskan di dalam Perjanjian Paris untuk dilaksanakan di peringkat domestik dan ianya akan memacu pelaksanaan Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long Term Low Emission Development Strategy - LT-LEDS), Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN2.0) dan lain-lain dasar berkaitan perubahan iklim yang akan saling melengkapi untuk mencapai sasaran National Determined Contribution (NDC) negara dan aspirasi pelepasan GHG sifar bersih negara pada tahun 2050.
Soalan (b)
3. RUUPIN ini juga digubal bagi melengkapi dasar-dasar sektoral sedia ada yang lain termasuk cukai karbon. Dalam hal ini, NRES sedang mengkaji untuk memasukkan peruntukan cukai karbon di dalam RUUPIN sebagai enabler agar dapat dilaksanakan di Malaysia.
4. Selain itu, Kementerian komited untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri terpelihara. Kementerian sentiasa mengamalkan pendekatan seluruh negara atau whole of nation approach dalam pembangunan dasar serta perundangan berkaitan perubahan iklim. Sebagai contoh, saya sendiri telah mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah pada 24 Januari 2025 bagi membincangkan hal-hal berkaitan pembangunan RUUPIN dan lain-lain dasar berkaitan perubahan iklim.
5. Dalam pertemuan ini, pihak Kementerian telah memaklumkan komitmennya untuk menghormati hak Kerajaan Negeri bagi perkara berkaitan sumber asli dan hasil negeri selaras dengan perlembagaan persekutuan. Selain itu, pihak Kementerian juga telah menyatakan hasrat agar Kerajaan Negeri dapat bersama mengambil bahagian dalam perbincangan dan pembangunan dasar-dasar perubahan iklim yang berkaitan bagi memastikan kepentingan Kerajaan Negeri sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih.