Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 March 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Biodiversiti, PERHILITAN

Nombor Soalan

8

Soalan

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah proaktif yang diambil oleh Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya termasuk kajian penyelidikan saintifik ke atas populasinya. Adakah Kementerian bercadang menyediakan dana khas bagi meningkatkan kawalan terhadap sindiket pemburuan haram.

Jawapan

1. Penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force - MyTTF) merupakan salah satu daripada 9 tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya yang telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021. MyTTF memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju serta menyelaras pelaksanaan dan pemantauan tindakan bagi konservasi Harimau Malaya. 


2. MyTTF telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan pelbagai tindakan bagi menangani krisis populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi. Antara langkah-langkah utama adalah seperti berikut:


  1. mengukuhkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia bersama agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta veteran Angkatan Tentera Malaysia dan PDRM, Orang Asli/ Orang Asal dan komuniti setempat;


  1. mengukuhkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai Centre of Excellence bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya melalui pengukuhan fungsi, perjawatan, perkakasan teknologi penyelidikan dan kerjasama strategik;


  1. meningkatkan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) kepada kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan negara termasuk habitat Harimau Malaya;


  1. memperluaskan pelaksanaan Skim Akreditasi Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS) bagi mengukuhkan keberkesanan pengurusan habitat Harimau Malaya.


3. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah pun menyediakan dana khas bagi menangani isu pemburuan haram. Dalam hubungan ini, Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan khusus bagi mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan melalui Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3) yang melibatkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan pelantikan Renjer Komuniti. Sejak tahun 2020 hingga 2024, sebanyak RM189 juta telah disediakan bagi melaksanakan BP3. Pada tahun ini, sebanyak RM80 juta telah diperuntukkan bagi melantik seramai 2,550 Renjer Komuniti termasuk di Sabah dan Sarawak.


4. Di samping itu, langkah-langkah bagi meningkatkan kawalan terhadap sindiket pemburuan haram dan jenayah hidupan liar rentas sempadan telah dilaksanakan melalui penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar (Wildlife Crime Bureau - WCB) di bawah PDRM dan pengukuhan pasukan Special Protected Area Response Team (SPARTA) di bawah Jabatan PERHILITAN sebagai pasukan taktikal khas untuk menangani isu pemburuan haram.


Sekian, terima kasih.​

Attachments