Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 February 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 49 | Soalan | Datuk Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid [ Kuala Kangsar ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan asas pertimbangan cadangan menghentikan sepenuhnya penggunaan bahan berasaskan asbestos di negara ini dan apakah bentuk perundangan serta dasar yang perlu ditangani oleh Kementerian bagi menghentikan penggunaan bahan berasaskan asbestos ini.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Melihat kepada kesan dan impak penggunaan asbestos kepada kesihatan manusia, Jawatankuasa Tadbir Urus Bahan Kimia Berbahaya Kebangsaan yang diselaraskan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan dianggotai oleh pelbagai Kementerian dan Agensi sedang melihat kepada cadangan pengharaman secara berfasa (phase down) penggunaan chrysotile asbestos kepada pengguna di Malaysia. Antara asas kepada cadangan ini adalah seperti berikut:
Malaysia telah melarang (banned) penggunaan lima (5) jenis asbestos manakala penggunaan chrysotile asbestos masih dibenarkan penggunaannya namun dalam keadaan terkawal (restricted);
terdapat bahan pengganti yang dapat menggantikan penggunaan chrysotile asbestos di Malaysia;
asbestos ditakrifkan sebagai karsinogen Kumpulan I oleh International Agency for Research on Cancer. Terdapat bukti yang jelas yang menyatakan kesan terdedah dengan asbestos boleh membawa kepada penyakit kanser di mana lebih separuh daripada kematian akibat kanser pekerjaan adalah berkaitan dengan pendedahan kepada asbestos;
pada tahun 2019, sejumlah 239,330 kematian dan 4,189,000 tahun hayat pelarasan kecacatan (disability-adjusted life years) berlaku di seluruh dunia akibat pendedahan kepada asbestos di tempat kerja; dan
chrysotile asbestos sedang dirundingkan di Konvensyen Rotterdam untuk disenaraikan dalam Annex III dengan sebarang pengimportan perlu melalui kaedah Prior Informed Consent (PIC).
Perundangan serta dasar mengenai cadangan pengharaman secara berfasa (phase down) penggunaan chrysotile asbestos ini masih lagi dibincangkan dan diteliti di bawah jawatankuasa ini. Berikut merupakan antara perundangan agensi berkaitan yang sedang diteliti bagi pengharaman secara berfasa (phase down) penggunaan chrysotile asbestos:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui draf Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bahan Berbahaya Kepada Alam Sekeliling) 202x bagi mengawal pengimportan, pengeksportan dan pengilangan bahan kimia berbahaya;
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) melalui Perintah Larangan Penggunaan Bahan 1999 atau pindaan kepada Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 (USECHH 2000).
melalui peraturan dan penguatkuasaan di peringkat antarabangsa melalui Konvensyen Asbestos ILO 1986, Konvensyen Rotterdam dan Konvensyen Basel.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|