Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 February 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 68 | Soalan | Datuk Seri Utama Ir. Hasni bin Mohammad [ Simpang Renggam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk memanfaatkan dana iklim yang diperuntukkan oleh negara maju untuk menangani kesan perubahan iklim. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia merupakan negara parti kepada konvensyen pelbagai hala berkaitan alam sekitar iaitu United Nations Convention on Biological Diversity (UNCBD), United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan United Nations Convention to Combat Desertification (UNCCD). Negara-negara membangun di bawah konvensyen-konvensyen tersebut termasuk Malaysia adalah layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan bawah dana antarabangsa, antaranya Global Environment Facility (GEF) dan Green Climate Fund (GCF).
Malaysia telah banyak menerima manfaat daripada peruntukan yang diterima daripada GEF. Sejak Malaysia menyertai GEF pada tahun 1994, sebanyak 21 buah projek di peringkat nasional telah dilaksanakan dengan jumlah pembiayaan sebanyak USD 76.951 juta. Selain itu, Malaysia juga turut terlibat dalam lima (5) buah projek serantau dengan pembiayaan berjumlah USD 30.35 juta.
Peruntukan indikatif yang telah ditetapkan untuk Malaysia bagi GEF kitaran ke-8 bermula Julai 2022 hingga Jun 2026, adalah sebanyak USD 26.32 juta bagi bidang fokus perubahan iklim, biodiversiti dan kemerosotan tanah. Projek-projek di bawah peruntukan bidang fokus perubahan iklim dan kemerosotan tanah telah berjaya mendapat kelulusan 100%. Manakala, Kementerian merancang untuk memohon pelaksanaan projek bagi keseluruhan baki peruntukan USD 11.3 juta di bawah bidang fokus biodiversiti daripada keseluruhan peruntukan USD 19.89 juta pada tahun ini.
Selain itu, Malaysia turut layak untuk menerima pembiayaan di bawah Green Climate Fund (GCF) bagi melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim. Sehingga kini, Kementerian telah melaksanakan empat (4) projek GCF di peringkat nasional dengan jumlah pembiayaan USD 1.398 juta. Malaysia turut terlibat dalam satu (1) projek serantau dengan pembiayaan berjumlah USD 300 juta. Tambahan daripada itu, pada 20 Februari 2025 yang lalu, Malaysia telah diluluskan satu lagi projek dengan jumlah keseluruhan nilai projek sebanyak USD 375.4 juta (RM 1.6 bilion) melibatkan beberapa negara meliputi tiga rantau – Afrika, Asia-Pasifik, serta Amerika Latin dan Caribbean – dengan Malaysia mewakili rantau Asia-Pasifik bersama Filipina.
Kementerian turut telah diluluskan permohonan dana daripada GCF bagi pembangunan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (Malaysia National Adaptation Plan - MyNAP) berjumlah USD 3 juta. Malaysia turut merancang untuk memohon peruntukan dana tambahan USD 3 juta bagi pelaksanaan MyNAP 2.0 setelah projek ini selesai.
Di bawah GCF juga, Kementerian sedang dalam usaha untuk memuktamadkan GCF Country Programme bagi memudahkan perancangan dan akses kepada dana ini. Malah, pihak Kementerian turut sedang meneliti pelaksanaan expert placement scheme bagi melantik seorang pegawai pemudah cara untuk memudahkan komunikasi dan tadbir urus supaya akses kepada dana ini dapat dipertingkatkan.
Disamping itu juga, Malaysia juga telah mengakses dana Adaptation Fund (AF) sebanyak USD 10 juta bagi pelaksanaan projek untuk pembangunan ekosistem yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim di kawasan bandar. Kementerian turut merancang untuk memohon USD 10 juta lagi daripada AF bagi pelaksanaan projek-projek adaptasi termasuk projek yang dirancang untuk dilaksanakan di peringkat negeri.
Kementerian kini sedang giat mengenalpasti projek-projek lain yang berpotensi supaya akses kepada dana-dana antarabangsa ini dapat diperluaskan dalam skala yang lebih besar.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|