Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 February 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 53 | Soalan | Dato' Sri Tuan Ibharim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha Kementerian sepanjang Kepengerusian ASEAN dalam memupuk kerjasama antara negara berkaitan kelestarian rentas sempadan, terutama bagi menangani masalah jerebu dan pelepasan sisa plastik.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Pada tahun 2025, Malaysia telah diberikan penghormatan untuk menjadi Pengerusi ASEAN. Dalam kapasiti ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah merancang beberapa langkah penting untuk memupuk kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam isu kelestarian alam sekitar, khususnya dalam menangani masalah jerebu merentas sempadan dan pelepasan sisa plastik. Ini merupakan dua cabaran utama yang memberi kesan terhadap ekosistem dan kesihatan awam di seluruh rantau ini.
Bagi menangani isu jerebu merentas sempadan, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution - AATHP) yang telah termeterai sejak tahun 2002. Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia akan memimpin mesyuarat tahunan yang melibatkan negara-negara anggota ASEAN, menerajui perbincangan berkaitan langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka dan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan.
Malaysia juga akan mengetengahkan cadangan pelaksanaan diplomasi sains dan pemerkasaan dana jerebu mampan. Perkara ini dicadangkan dengan mengambil contoh kesepakatan dan kejayaan pelaksanaan Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala (Multilateral Environmental Agreements – MEAs) seperti Protokol Montreal mengenai Bahan Penipis Lapisan Ozon dan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) di peringkat antarabangsa yang antara lain menekankan keseimbangan komposisi antara data saintifik, fakta dan rundingan untuk menyokong proses membuat keputusan dalam kalangan negara ahli.
Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama teknikal antara negara-negara ASEAN melalui inisiatif penyelidikan bersama berkaitan pengurusan dan pencegahan kebakaran terbuka serta perkongsian pengetahuan mengenai teknologi dan kepakaran berkaitan pemadaman kebakaran yang lebih efektif, terutamanya di kawasan berisiko terbakar seperti hutan dan tanah gambut. Melalui pemerkasaan dana jerebu mampan, pelaksanaan penyelidikan, penerokaan teknologi dan inovasi baharu dalam pembangunan infrastruktur, pelan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah gambut dapat dilaksanakan dengan efektif selaras dengan Artikel 16 - Kerjasama Teknikal dan Artikel 17 - Penyelidikan Saintifik di bawah AATHP.
Malaysia juga akan menyeru kerjasama negara-negara anggota ASEAN untuk memberi sokongan bagi pengoperasian penuh ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) yang berpusat di Indonesia untuk menyelaras pengurusan kebakaran dan insiden jerebu merentas sempadan bagi memastikan pelaksanaan AATHP yang lebih berkesan.
Bagi menangani isu pelepasan sisa plastik, Malaysia ingin membawa isu penjajahan sisa (waste colonisation). Negara ASEAN sering menjadi mangsa penjajahan sisa oleh negara maju bagi mengeksport sisa ke Malaysia dengan alasan ’kitar semula’. Namun, sebenarnya negara maju ingin menjadikan negara-negara membangun seperti Malaysia sebagai tapak pelupusan dunia dengan melanggar prinsip keadilan alam sekitar. Malaysia ingin mencadangkan agar negara maju lain mengikut langkah Kesatuan Eropah untuk mengenakan sekatan ketat terhadap eksport sisa, khususnya sisa plastik ke negara-negara bukan Organisation for Economic Co-operation and Development, (OECD).
Malaysia akan memimpin usaha untuk memperkenalkan langkah-langkah yang lebih tegas serta dasar yang lebih ketat dalam menangani isu ini di peringkat serantau.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|