Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

43

Soalan

Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong [ Ayer Hitam ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan pertimbangan Kerajaan untuk menetapkan penggunaan petrol Euro 5 sebagai keperluan minimum dalam memperbaharui dasar insentif kenderaan diesel menjelang tahun 2026 dan apakah Kerajaan berhasrat untuk menyediakan insentif eksklusif bagi menggalakkan peralihan penggunaan teknologi Euro 5 dengan lebih cepat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kerajaan telah mula merancang hala tuju peningkatan kualiti bahan api petrol dan diesel yang lebih bersih sejak tahun 2006 sebagai usaha ke arah meningkatkan kualiti udara Negara dan kesejahteraan hidup rakyat. Dalam hal ini, penetapan garis masa pelaksanaan kualiti bahan api berspesifikasi EURO 5 telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara Bil. 21/2014 pada 18 Ogos 2014 untuk mula dilaksanakan pada 1 September 2025. 


  1. Berdasarkan kepada perancangan tersebut, pelaksanaan kualiti bahan api petrol dengan spesifikasi EURO 5 adalah secara berperingkat, bermula pada 1 September 2025 hingga 1 September 2027 melalui pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol dan Diesel) 2007 (Pindaan) 2021 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 


  1. Pelaksanaan kawalan pematuhan ini merupakan salah satu langkah Kerajaan untuk mengurangkan kandungan sulfur, plumbum dan benzen dalam bahan api bagi meningkatkan kualiti udara, selaras dengan usaha untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah kaca. 


  1. Walau bagaimanapun, Kerajaan prihatin dalam memastikan sesuatu pelaksanaan dasar tidak memberikan implikasi negatif kepada kewangan negara dan membebankan rakyat serta pemain industri berkaitan. Justeru, Kerajaan terbuka menetapkan garis masa yang lebih seimbang untuk mengambil kira semua aspek pelaksanaan. 


  1. Sementara itu, kualiti bahan api diesel dengan spesifikasi EURO 5 telah dilaksanakan sejak 1 April 2021 dan mencapai spesifikasi penuh pada 1 April 2023 di seluruh Negara. 


  1. Pada masa ini, Kerajaan tidak berhasrat untuk memperkenalkan insentif yang eksklusif bagi mempercepat peralihan ke arah penggunaan teknologi EURO 5. Tumpuan Kerajaan pada ketika ini adalah menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy), serta meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan plug-in hybrid electric vehicle (PHEV) selaras dengan pelaksanaan Dasar Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR). 


Sekian, terima kasih.​

Attachments