Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 26 February 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 32 | Soalan | Dato' Dr. Haji Alias bin Razak [ Kuala Nerus ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perancangan Kementerian bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di seluruh negara khususnya melibatkan pengurusan e-waste dilakukan dengan bertanggungjawab dan berkesan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Sisa elektronik adalah dikategorikan sebagai buangan berbahaya kod A1180 di bawah Annex VIII, Konvensyen Basel dan buangan terjadual kod SW 110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
Bagi menjamin ketelusan dan integriti dalam penguatkuasaan undang-undang alam sekitar khususnya pengurusan e-waste dilaksanakan secara berkesan, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan sentiasa memastikan pergerakan merentasi sempadan (pengimportan dan pengeksportan) sisa elektronik mematuhi tanggungjawab dan prosedur yang telah ditetapkan di bawah Konvensyen Basel termasuk pematuhan terhadap prosedur Prior Informed Consent (PIC) dan tertakluk kepada perundangan serta polisi yang ditetapkan oleh Malaysia.
Malaysia telah menetapkan bahawa sebarang pengimportan buangan berbahaya atau buangan terjadual untuk tujuan pemerolehan kembali adalah tidak dibenarkan. Pengurusan serta pelupusan e-waste di Malaysia dilaksanakan di kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan dan dikuatkuasakan oleh JAS melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan peraturan-peraturan lain di bawahnya. Ianya bertujuan untuk menguruskan dan mengendalikan buangan terjadual yang dihasilkan dalam negara sahaja.
JAS akan menjalankan penguatkuasaan berterusan terhadap premis yang menguruskan e-waste melalui pemeriksaan berkala, audit pematuhan dan tindakan tegas terhadap pelanggaran peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pelupusan dan pemprosesan e-waste secara haram boleh dikenakan tindakan penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun dan penalti maksimum tidak melebihi RM10 juta seperti yang telah diperuntukkan melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Selain itu, latihan berkala dan peningkatan keupayaan pegawai JAS dalam aspek teknikal serta pengukuhan integriti pegawai penguatkuasa akan terus diperkasakan. Langkah ini penting bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dilaksanakan dengan bertanggungjawab, telus dan berkesan.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|