Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geospatial

Nombor Soalan

54

Soalan

Tuan Kesavan A/L Subramaniam [ Sungai Siput ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha-usaha yang telah diambil oleh Kementerian dalam memastikan maklumat pemetaan utiliti bawah tanah diurus dengan cekap dan efisien bagi mengelakkan berlakunya kerugian akibat kerja-kerja pengorekan bagi tujuan pembangunan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi memastikan maklumat pemetaan utiliti bawah tanah diuruskan dengan cekap dan berkesan untuk mengelakkan kerugian akibat kerja-kerja pengorekan bagi tujuan pembangunan. Inisiatif-inisiatif tersebut adalah seperti berikut:


  1. menubuhkan Bahagian Pemetaan Utiliti di JUPEM khusus bagi menguruskan pengumpulan, penyimpanan dan penyelenggaraan data utiliti bawah tanah;


  1. membangunkan Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) sebagai pusat repositori data utiliti bawah tanah di seluruh negara. Bagi tujuan ini, JUPEM melaksanakan pengumpulan data pemetaan utiliti bawah tanah melalui perkongsian daripada penyedia perkhidmatan utiliti, Juruukur Tanah Berlesen (JTB) serta pelbagai agensi lain dari semasa ke semasa. JUPEM turut melaksanakan pengesanan dan pemetaan utiliti bawah tanah serta menyimpan data-data mengikut spesifikasi format yang telah ditetapkan berdasarkan pengukuran berketepatan tinggi (survey-accurate);


  1. mengeluarkan garis panduan berkaitan pengurusan dan pengukuran pepasangan utiliti bawah tanah dari semasa ke semasa melalui Pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan;


  1. menyediakan kumpulan profesional dan pakar iaitu Juruukur Tanah Berlesen yang mempunyai sijil kompetensi khas bagi melaksanakan kerja-kerja ukur pengesanan utiliti bawah tanah;


  1. membangunkan Pusat Panggilan Setempat (Call Center) sebagai sebuah platform perkongsian data utiliti yang lengkap bagi membolehkan data-data diperolehi sebelum kerja-kerja pengorekan tanah dibuat. Ini dapat mengelakkan berlakunya bencana dan gangguan perkhidmatan akibat kerosakan pepasangan utiliti bawah tanah;


  1. membangunkan Augmented Reality for Underground Utility Mapping Systems (ARUUMS) yang merupakan satu aplikasi mudah alih bagi membolehkan pengguna mendapatkan gambaran berkaitan maklumat utiliti bawah tanah secara 3 dimensi (3D) dengan pantas secara real time. Kaedah pemetaan secara interaktif ini akan membolehkan data-data pemetaan utiliti bawah tanah disemak secara maya di lapangan;


  1. memperluaskan aktiviti pemetaan utiliti bawah tanah di semua negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan melalui JUPEM Negeri masing-masing; 


  1. merangka Dasar Pemetaan Utiliti Nasional (National Utility Mapping Policy - NUMP) dengan memberikan fokus kepada penetapan hala tuju pemetaan utiliti bawah tanah di peringkat nasional, mentadbir urus dan mengawal selia pemetaan utiliti agar pematuhan terhadap perkongsaian data utiliti, arahan, peraturan dan spesifikasi yang ditetapkan dapat dikuatkuasakan; dan


  1. melaksanakan kajian penggubalan Rang Undang-Undang bagi menyokong pelaksanaan NUMP serta memastikan pengurusan maklumat pemetaan utiliti bawah tanah di negara ini dilaksanakan dengan menyeluruh dan berkesan.


Melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, data pemetaan utiliti bawah tanah yang lengkap dan komprehensif dapat disediakan, dikemaskini dan dikongsi dengan pihak yang melaksanakan pembangunan di kawasan-kawasan yang melibatkan utiliti bawah tanah. Kerja-kerja pengorekan yang berpandukan maklumat yang tepat akan dapat mengelakkan gangguan perkhidmatan akibat daripada kerosakan pepasangan utiliti bawah tanah.


Sekian, terima kasih.​

Attachments