Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

21

Soalan

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :

(a) langkah-langkah yang diambil untuk merekod/mengintegrasi data pergerakan bahan kimia berbahaya (bagi manusia dan/atau alam sekitar) di seluruh rantaian pergerakan dari import/penghasilan sehingga pelupusan untuk memudahkan siasatan kes pencemaran; dan

(b) adakah Kementerian berancang untuk membentangkan Akta Tadbir Urus Bahan Kimia.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Kawalan bahan kimia berbahaya di Malaysia dilaksanakan secara bersepadu oleh sembilan (9) kementerian dan agensi, serta sembilan (9) akta sedia ada yang sedang berkuatkuasa. Setiap kementerian dan agensi mempunyai sistem inventori data tersendiri bagi memantau bahan kimia di bawah akta masing-masing.


  1. Bagi menyelesaikan isu-isu integrasi data serta perundangan dan penyelarasan dalam pengurusan bahan kimia yang lebih holistik dengan mengambil kira kitaran hayat (life cycle) bahan kimia tersebut daripada kemasukan sehingga pelupusan (from cradle to grave), Jawatankuasa Pengukuhan Tadbir Urus Bahan Kimia Berbahaya peringkat Kebangsaan telah ditubuhkan. Antara objektif utama jawatankuasa ini adalah:


  1. memudahkan perkongsian data antara kementerian dan agensi bagi pengurusan bahan kimia berbahaya;

  2. mewujudkan satu senarai bahan kimia berbahaya keutamaan di peringkat kebangsaan;

  3. menilai risiko dan merancang pelan mitigasi serta kesiapsiagaan menghadapi bencana yang melibatkan bahan kimia berbahaya; dan

  4. menyelaras isu-isu berbangkit merentas sektor khususnya bagi pengurusan, pengawalan dan pemantauan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan awam dan alam sekitar.


  1. Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) selaku salah satu agensi yang bertanggungjawab dalam kawal selia import, eksport, dan pengurusan bahan kimia berbahaya akan sentiasa memantau pergerakan bahan kimia industri berbahaya selaras dengan Konvensyen Rotterdam melalui kaedah Prior Informed Consent (PIC). JAS juga telah membangunkan sistem MyEHS untuk merekodkan permohonan berkaitan PIC serta sistem e-SWIS bagi pemantauan pengurusan buangan terjadual sehingga pelupusannya. Data dalam kedua-dua sistem ini dipantau secara berterusan bagi memastikan kawalan yang efektif terhadap pergerakan dan pelupusan bahan kimia berbahaya dalam negara.


Soalan (b)


Tuan Yang di-Pertua,


  1. Seperti yang dimaklumkan tadi, kawalan bahan kimia berbahaya di Malaysia dilaksanakan secara bersepadu oleh sembilan (9) kementerian dan agensi serta sembilan (9) akta sedia ada yang sedang berkuatkuasa. Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengukuhan Tadbir Urus Bahan Kimia Berbahaya peringkat Kebangsaan telah ditubuhkan.


  1. Buat masa ini, pihak Kementerian ingin menggunakan platform dan akta sedia ada bagi menyelaras isu-isu berbangkit merentas sektor khususnya bagi pengurusan, pengawalan dan pemantauan bahan kimia berbahaya dan tidak bercadang untuk mewujudkan Akta Tadbir Urus Bahan Kimia. 


  1. Namun begitu, jika terdapat keperluan bagi mewujudkan Akta Tadbir Urus Bahan Kimia, perkara ini akan dikaji dan dibincangkan dalam jawatankuasa ini setelah mengambilkira akta dan perundangan sedia ada di bawah agensi-agensi berkaitan pengurusan bahan kimia di Malaysia.


Sekian, terima kasih.

Attachments