Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 February 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Geosains | Nombor Soalan | 18 | Soalan | Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [ Besut ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan status dan justifikasi penggubalan Akta Penyiasatan Geologi dan Geosains (APGG) yang akan dibentang di Parlimen bagi menggantikan Akta Penyiasatan Kajibumi 1974.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Penggubalan Rang Undang-Undang Penyiasatan Geologi dan Geosains (RUU PGG) bertujuan menambah baik peruntukan-peruntukan sedia ada, responsif terhadap keperluan dan dasar semasa Negara dan memperkukuhkan peranan dan bidang tugas JMG selari dengan perkembangan bidang geosains yang semakin mencabar dan hasrat kerajaan dalam memperkemaskan hala tuju industri mineral negara.
Di samping itu, skop dan bidang kuasa JMG turut akan diperkasa melalui pertambahan, pemantapan dan pengukuhan takrifan dan terminologi baharu berkaitan aspek geologi dan geosains berdasarkan perkembangan pengetahuan, amalan dan teknologi terkini. Penggubalan RUU PGG ini akan memberi kuasa kepada JMG bagi memastikan keselamatan maklumat dan sumber geologi di perairan dan pelantar benua Negara terpelihara dan selamat.
Walau bagaimanapun, RUU PGG ini tidak akan menyentuh bidang kuasa negeri terhadap sumber geologi, sebaliknya memfokuskan kepada proses pemetaan geologi, penyiasatan geologi serta khidmat nasihat teknikal yang berkaitan.
Pada masa ini, Kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sedang melaksanakan proses penggubalan Rang Undang-Undang Penyiasatan Geologi dan Geosains (RUU PGG) di mana draf RUU ini telah disediakan. Pada tahun ini Kementerian mensasarkan kesemua sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti Kerajaan Negeri dan Jabatan/Agensi berkaitan dapat diselesaikan dan RUU ini dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun 2026.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|