Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

11

Soalan

Tuan Syahredzan bin Johan [ Bangi ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :

  1. usaha jangka masa pendek dan jangka masa panjang Kementerian dalam mendigitalisasikan urusan pentadbiran tanah; dan

  2. langkah-langkah bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan serta mengurangkan kos dan masa untuk setiap transaksi berkaitan pentadbiran tanah.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


1. Kementerian sentiasa komited dalam melaksanakan gerak kerja pendigitalan pentadbiran tanah negara agar pentadbiran tanah terus diperkemas dan ditambah baik seiring dengan tuntutan perkembangan teknologi terkini dan revolusi digital.  Dalam hal ini, Kementerian telah melaksanakan Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik (e-Tanah) dan Sistem MyLand. 


Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik (e-Tanah)


2. Sistem e-Tanah merupakan sistem pentadbiran tanah elektronik yang dibangunkan berdasarkan keperluan dan kesesuaian di negeri dengan berpaksikan perundangan yang berkuat kuasa. Melalui Sistem e-Tanah, urusan-urusan dalam pentadbiran tanah akan dapat dilaksanakan secara atas talian dengan lebih pantas dan efisien seperti urusan permohonan sijil carian rasmi dan carian persendirian, permohonan kebenaran (consent) dan urusan bayaran cukai tanah. 


3. Sehingga Disember 2024, Sistem e-Tanah secara Kerjasama Awam Swasta (PPP) telah berjaya diguna pakai di Wilayah Persekutuan, Negeri Perak, Negeri Selangor dan Negeri Terengganu. Sistem e-Tanah disasarkan untuk diperluaskan penggunaannya di semua negeri di Semenanjung Malaysia menjelang 2030 dengan kerjasama Kerajaan-kerajaan negeri.   


Sistem MyLAND


4. Sistem MyLAND telah dibangunkan untuk memperkasakan pentadbiran tanah persekutuan dan urusan pembahagian pusaka yang berteraskan ekosistem teknologi dan responsif kepada keperluan rakyat. 


5. Sistem MyLAND merupakan bank data aset tanah kerajaan persekutuan serta sumber rujukan setempat yang menyimpan keseluruhan maklumat tanah persekutuan secara lengkap dengan elemen GIS. Sistem ini juga menawarkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai melalui fungsi ePayment bagi memudahkan pengguna dalam berurusan. 


6. Bermula 1 Januari 2025, MyLAND juga telah bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dengan melaksanakan penambahan skop iaitu menyediakan kemudahan perekodan maklumat ketuanpunyaan beserta pelan lokasi tanah bagi tanah Badan Berkanun Persekutuan (BBP) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Ini bagi memastikan perekodan maklumat tanah dilaksanakan secara menyeluruh dan pengurusan tanah dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.


Soalan (b)


7. Pada masa ini, pentadbiran tanah ke arah melaksanakan konsep perserahan dan pendaftaran secara dalam talian (Online Presentation and Registration). Oleh itu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sedang mengkaji perundangan Kanun Tanah Negara yang melibatkan urusan pendaftaran dan perserahan secara atas talian yang sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara.   


8. Melalui kaedah ini, semua peringkat urusan tanah terutamanya perserahan dan pendaftaran boleh dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya. Ini bagi memastikan keaslian dan keselamatan data yang terekod di sistem sekali gus membantu meningkatkan kecekapan dalam urusan pentadbiran tanah. 


Sekian, terima kasih. ​

Attachments