Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

6

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk mengintegrasikan sistem ramalan cuaca dengan takwim tanaman dan tuaian bagi membantu petani merancang aktiviti pertanian berdasarkan data cuaca.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) adalah bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pemantauan, pengeluaran maklumat serta pusat pengumpulan data cuaca, iklim, atmosfera, gempa bumi, dan tsunami di seluruh negara serta kawasan perairannya.


  1. Setakat ini tiada lagi integrasi di antara ramalan cuaca dengan takwim tanaman dan tuaian bagi membantu petani merancang aktiviti pertanian berdasarkan data cuaca. Namun begitu, MET Malaysia mengalu-alukan sebarang perbincangan dan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tujuan integrasi maklumat tersebut. MET Malaysia juga telah berkongsi maklumat dan data meteorologi di Portal Data Terbuka Sektor Awam (DTSA) dan telah membangunkan MET Application Programming Interface (METAPI) bagi memudahkan integrasi data.


  1. Untuk makluman Yang Berhormat, MET Malaysia ada menyediakan Tinjauan Meteorologi Pertanian dan Buletin Cuaca setiap bulan di laman sesawang Jabatan. Laporan tersebut digunakan sebagai panduan berkenaan cuaca kepada pelbagai agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan pengusaha-pengusaha industri pertanian. 


  1. Laporan ini memberikan analisa dan maklumat berkaitan jumlah taburan hujan, suhu, kelembapan relatif, sejatan dan sinaran matahari setiap bulan.


  1. Untuk memantau keadaan cuaca kering dan panas di negara ini, MET Malaysia melaksanakan:


  1. Pemantauan suhu maksimum harian bagi menentukan status cuaca panas seluruh Negara pada setiap hari;

  2. Pelaporan bilangan hari tanpa hujan setiap hari;

  3. Penyediaan maklumat dan ramalan kawasan yang berisiko untuk pembakaran melalui indeks Fire Danger Rating System (FDRS) yang dikemaskini setiap hari;

  4. Pemantauan status ENSO (El-Niňo & La-Niňa) dan ia dikemaskini pada setiap bulan; dan

  5. Pengeluaran Indeks Pemantauan Kemarau (SPI) yang dikemaskini pada setiap bulan bagi memantau situasi kemarau berdasarkan Peraturan Tetap Pengendalian Bencana Kemarau Kebangsaan.


  1. Semua maklumat-maklumat ini boleh diakses melalui laman sesawang dan media sosial rasmi MET Malaysia. MET Malaysia juga sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) untuk tujuan pertanian.


Sekian, terima kasih.​

Attachments