Tuan Yang di-Pertua,
1. Program Sijil Konservasi Hutan (Forest Conservation Certificate - FCC) merupakan instrumen bukan berasaskan pasaran yang telah diluncurkan oleh Kementerian ini pada 27 Mei 2024. FCC memainkan dwi-peranan dalam mengiktiraf inisiatif pengurusan hutan dan menggalakkan sumbangan korporat kepada aktiviti-aktiviti mengekal, memulihara, melindungi dan mengurus hutan secara berkekalan. Malaysia Forest Fund (MFF) adalah sebuah syarikat dengan jaminan terhad, yang ditubuhkan oleh Kementerian sebagai agensi pelaksana instrumen FCC serta pemudahcara di antara Kerajaan Negeri dan sektor swasta bagi menyuaipadankan projek konservasi hutan dengan dana daripada pihak sektor swasta.
2. Sehingga kini, MFF telah menerima sejumlah 16 permohonan projek yang dikemukakan oleh pihak agensi persekutuan, Kerajaan Negeri melalui jabatan dan agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta untuk dipertimbangkan di bawah FCC. Daripada jumlah tersebut, sebanyak dua (2) permohonan projek telah diluluskan dengan sumbangan dana yang berjumlah RM860,000.00 bagi pelaksanaan inisiatif konservasi dan pemuliharaan hutan, berdasarkan aktiviti yang dipersetujui oleh pemilik kawasan berhutan dan penyumbang dana.
3. Bagi memantau kemajuan projek-projek di bawah FCC, MFF sedang memuktamadkan pembangunan ‘Sistem Registri Kerangka Kewangan REDD Plus (REDD Plus Finance Framework – RFF)’ yang berfungsi sebagai repositori pusat bagi menyimpan semua maklumat yang berkaitan dengan permohonan, kelulusan, butiran projek, jumlah pembiayaan, status projek (pemantauan dan pelaporan), laporan audit dan jumlah penyaluran dana. Di samping itu, sistem registri ini turut menyediakan platform yang selamat bagi membolehkan mana-mana pihak berkepentingan menyuarakan aduan, pertikaian atau laporan salah laku dalam pengurusan serta pelaksanaan projek FCC. Sistem registri ini boleh diakses oleh masyarakat awam bagi menjamin tahap integriti, kredibiliti dan ketelusan projek-projek pemuliharaan serta perlindungan hutan negara pada setiap peringkat pengoperasiannya.
4. Selain itu, pemantauan secara berkala serta penilaian audit (projek terpilih) juga akan dilaksanakan terhadap projek-projek yang telah diluluskan di bawah FCC. Perkara ini akan dilaksanakan melalui laporan kemajuan projek seperti yang telah digariskan di bawah instrumen dan kerangka Perjanjian Konservasi (Conservation Agreement) yang mengikat semua pihak kepada pelaksanaan aktiviti serta terma pengurusan dan pentadbiran projek.
5. Pelaksana projek juga bertanggungjawab untuk mengemukakan sekurang-kurangnya satu (1) laporan kemajuan projek setiap 12 bulan dan pelaporan ini perlu melalui proses verifikasi oleh badan verifikasi dan validasi (Verification and Validation Body - VVB). Proses konsultasi dan kerjasama erat dengan pihak kerajaan negeri dan agensi teknikal (jabatan perhutanan dan sebagainya) juga dilaksanakan secara berterusan dan berkala bagi memastikan pelaksanaan projek FCC adalah telus dan lancar; selain usaha bagi mengenalpasti projek-projek baharu yang berpotensi untuk dilaksanakan di bawah instrumen FCC.
Sekian, terima kasih.