Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

17 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

23

Soalan

Tuan Kalam bin Salan [ Sabak Bernam ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan perlombongan REE (Kaedah ISL) boleh menyebabkan alam sekitar dan struktur tanah mengalami kerosakan yang teruk apabila pelombong menggunakan asid kuat berkepekatan pH 1 bagi mengasingkan REE daripada tanah. Adakah terdapat peruntukan undang-undang yang diselia JMG untuk mengekang hal seperti ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1.   Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sentiasa memantau aktiviti perlombongan yang dijalankan melalui penguatkuasaan Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525]. Bagi tujuan penetapan had parameter yang dibenarkan bagi sebarang pelepasan efluen daripada kawasan perlombongan termasuk kepekatan pH, ia adalah dipantau di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016, Akta Pembangunan Mineral 1994.

 

2.   Untuk makluman, melalui kajian yang dijalankan menunjukkan kebanyakan unsur nadir bumi (REE) yang terjerap pada tanah akan diekstrak melalui penggunaan leaching solution dalam keadaan sedikit berasid dan hampir neutral (pH < 6.5 – 6.8). SOP Perlombongan REE yang telah disediakan menyatakan penyediaan leaching solution dalam operasi perlombongan hanya melibatkan ammonium sulfat dengan kepekatan 1-2% sahaja yang menghasilkan larutan dengan pH asid lemah.


3.   Kaedah ISL yang ditetapkan bagi perlombongan REE di Malaysia melibatkan aktiviti pembukaan tanah yang minimum dan hanya bagi tujuan penyediaan tapak loji hidrometalurgi dan fasiliti lain seperti laluan akses, serta saliran dan kolam pengumpulan REE sahaja. Penggunaan kaedah ini tidak melibatkan pembukaan tanah dalam skala yang besar dan pengorekan keluar tanah beban dan tanah berbijih seperti mana kaedah perlombongan konvensional.

 

4.   Selain itu, perlombongan REE menggunakan kaedah ISL dilaksanakan secara berfasa dan tidak melibatkan tempoh masa yang lama. SOP turut menetapkan kawasan yang telah dikerjakan perlu dipulihkan semula oleh pengusaha lombong. Ini dapat memastikan tiada impak kepada alam sekitar daripada aktiviti perlombongan ini dalam jangka masa panjang. Hasil pengauditan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Audit ke atas pelaksanaan projek perintis perlombongan di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak yang merangkumi pemantauan ke atas kualiti air permukaan dan bawah tanah mendapati perlombongan REE ini tidak memberikan impak yang besar kepada alam sekitar.

 

5.   JMG turut melaksanakan pemantauan ke atas kualiti air permukaan dan air bawah tanah secara berterusan bagi memastikan aktiviti perlombongan di tapak projek perintis tersebut tidak mengakibatkan pencemaran kepada kualiti air. Hasil aktiviti pemantauan terkini mendapati kualiti air di kawasan tapak projek perintis mematuhi had yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016.


6.    SOP Perlombongan REE dengan kaedah ISL wajib dipatuhi dengan ketat oleh semua pelombong yang ingin mengekstrak REE terutamanya dari segi kawalan penggunaan bahan leaching solution. Pematuhan adalah perlu bagi mengelakkan risiko ketakstabilan tanih, kegagalan cerun dan pencemaran air bawah tanah. Penggunaan kepekatan asid atau bahan kimia pelarut yang berlebihan boleh menyebabkan tanih menjadi terlalu berasid, mengubah struktur mineral tanih dan menjejaskan kesuburan serta kestabilannya. SOP Perlombongan juga menetapkan keperluan pemantauan dan pemeriksaan supaya langkah mitigasi dapat dilaksanakan jika ada berlaku masalah berkenaan.


Sekian, terima kasih.​

Attachments