Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 06 February 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 84 | Soalan | Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib [ Tenggara ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah wujud usaha Kementerian bagi membentuk dan memperkasa NGO atau pertubuhan masyarakat setempat untuk menjadi ejen pemantau alam sekitar bagi mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi-lokasi berpotensi tercemar mahupun pelanggaran-pelanggaran undang-undang tertentu berkaitan alam sekitar termasuk operasi tapak pelupusan sampah dan premis-premis industri.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menggunakan pelbagai platform dalam memperkasakan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (Communication, Education and Public Awareness) kepada masyarakat setempat berkaitan isu-isu pengurusan dan pencemaran alam sekitar ke arah pembudayaan kelestarian alam sekitar.
Pihak Kementerian sering kali mengadakan sesi libat urus dengan orang awam melalui media sosial dan media massa. Aktiviti ini termasuk penganjuran webinar serta sesi temu bual di televisyen dan radio untuk mengetengahkan isu-isu semasa seperti pencemaran air, pencemaran udara, dan pengurusan buangan berbahaya. Selain itu, promosi dan hebahan berkaitan alam sekitar turut dilaksanakan melalui laman sesawang serta penerbitan digital oleh Jabatan.
Kementerian berusaha untuk menyebarluas maklumat berhubung isu alam sekitar kepada rakyat melalui sambutan hari berkepentingan alam sekitar seperti Hari Alam Sekitar Negara, Hari Bumi, Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Ozon Sedunia yang diraikan setiap tahun. Program-program berasaskan alam sekitar seperti Penanaman Pokok, Pengurusan Buangan melalui pendekatan 3R (Reduce, Reuse and Recycle), Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna, Pembersihan Kawasan (Plogging), Pembersihan Pantai, Kem Kesedaran Alam Sekitar dan Amalan Gaya Hidup Hijau dan Lestari sering kali dijadikan aktiviti utama supaya rakyat lebih tertarik dengan aktiviti-aktiviti alam sekitar yang lebih santai.
Untuk makluman, JAS juga sedang giat memantapkan program dan meningkatkan keahlian Rakan Alam Sekitar (RAS) di seluruh negara. Program RAS telah dilancarkan pada 4 Jun 2009 merupakan inisiatif kementerian dalam membangunkan kesedaran dan menggerakkan anggota masyarakat setempat dalam aktiviti kelestarian alam sekitar. RAS melibatkan keseluruhan anggota masyarakat tanpa mengira umur yang berperanan menjadi ‘mata dan telinga’ untuk membantu agensi-agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar, di samping terlibat dalam program-program berbentuk komuniti dan kesedaran alam sekitar.
Untuk makluman, sehingga 31 Januari 2025, rekod keahlian Rakan Alam Sekitar (RAS) mencatatkan seramai 198,000 ahli. Sehubungan itu, NRES menggalakkan semua Kementerian dan Agensi untuk menyertai keahlian RAS serta melaksanakan program-program di bawah agensi masing-masing dengan penglibatan aktif ahli RAS tersebut.
JAS turut menjalinkan kerjasama bersama Rakan Strategik Alam Sekitar terdiri daripada kalangan industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi Kerajaan dan swasta dalam menganjurkan program-program kesedaran alam sekitar. Kerjasama ini dapat memastikan usaha penyampaian maklumat kepada JAS dilaksanakan dengan lebih berkesan, di samping memperkukuh pembudayaan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat.
Oleh itu, ejen pemantau alam sekitar yang terdiri daripada masyarakat setempat dapat memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan usaha pemantauan dan penguatkuasaan oleh JAS. Sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar dapat dilaporkan dengan lebih pantas kepada JAS menerusi talian bebas tol 1800-88-2727 yang beroperasi 24 jam, e-mel di aduan_k@doe.gov.my, atau melalui portal e-Aduan JAS.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|