Tuan Yang di-Pertua,
1. Projek perlombongan unsur nadir bumi (REE) telah dijalankan di Mukim Kenering, Gerik, Perak sejak tahun 2022. Pihak pengusaha telah menjalankan aktiviti perlombongan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian. Aktiviti perlombongan ini telah mematuhi semua prosedur dan perundangan yang ditetapkan sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri.
2. Dalam memastikan aktiviti perlombongan ini dijalankan secara terkawal, Kementerian telah menubuhkan Jawatankuasa Audit pada tahun 2022 yang terdiri daripada jabatan dan agensi teknikal untuk memantau pelaksanaan projek perlombongan yang dijalankan. Hasil daripada dapatan audit tersebut mendapati pihak pengusaha telah mematuhi kesemua prosedur yang ditetapkan dan terdapat sebahagian kecil ketidakpatuhan yang telah ditegur dan diambil tindakan penambahbaikan oleh pihak pengusaha. Proses pemantauan ini dilaksanakan secara berterusan sehingga sekarang bagi memastikan aktiviti perlombongan yang dijalankan tidak memberi kesan negatif khususnya kepada alam sekitar dan penduduk sekitar.
3. Bagi melihat dari aspek impak terhadap aktiviti perlombongan REE pula, Kementerian telah melantik pihak Institut Penyelidikan dan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan aktiviti perlombongan REE di kawasan ini. Berdasarkan laporan awal yang dikeluarkan oleh pihak FRIM, aktiviti perlombongan yang dijalankan hanya mendatangkan kesan yang tidak signifikan terhadap aspek berkaitan flora, fauna, tanah, hidrologi, stok karbon dan sosioekonomi.
Sekian, terima kasih.