Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

06 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Mineral

Nombor Soalan

44

Soalan

Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man [ Kubang Kerian ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan :

  1. hala tuju perlombongan unsur nadir bumi (REE) serta langkah segera bagi mempercepatkan proses penguraian REE agar Malaysia tidak ketinggalan dalam pengeksportan bahan ini; dan

  2. selain Lynas apakah Kementerian berhasrat mempercepatkan pewujudan kilang pemprosesan bahan REE.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Soalan (a)


  1. Menyedari potensi besar yang boleh dibawa oleh industri unsur nadir bumi (REE), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah menetapkan hala tuju supaya industri ini dibangunkan secara menyeluruh merangkumi industri huluan, pertengahan dan hiliran. Ia adalah selaras dengan pernyataan dasar di bawah Kerangka Dasar Mineral Negara 3. Hala tuju pembangunan industri REE telah dibentang dan dipersetujui secara prinsip dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil. 6 Tahun 2024 pada 5 Ogos 2024 berdasarkan model perniagaan jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Kementerian mensasarkan Malaysia mempunyai rantaian industri REE yang lengkap pada tahun 2030 serta menjadi hab industri REE serantau dan global.


  1. Bagi memastikan perancangan hala tuju ini dapat digerakkan, Special Task Force yang dianggotai oleh NRES, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Ekonomi (KE), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah ditubuhkan pada 14 Oktober 2024. Di bawah Special Task Force ini, 3 Jawatankuasa Teknikal telah dibentuk bagi menumpukan kepada pembangunan di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran serta penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan, inovasi dan teknologi.


  1. Penubuhan Special Task Force yang melibatkan kementerian-kementerian utama ini merupakan satu langkah strategik bagi memastikan tindakan dan inisiatif dibuat dengan lebih bersinergi. Special Task Force ini memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju pembangunan industri REE sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri atau Majlis-majlis lain yang berkaitan.

 

Soalan (b)


  1. Kementerian sememangnya berhasrat untuk mempercepatkan pewujudan kilang pemprosesan bahan REE yang dianggap sebagai agenda paling kritikal dan utama dalam memastikan pembangunan industri ini tidak hanya tertumpu kepada pembangunan di peringkat huluan sahaja. Selain melihat kepada potensi dari Lynas, Kementerian turut terbuka untuk berunding dengan mana-mana negara yang memiliki kepakaran dan teknologi seperti China, Korea Selatan dan Jepun bagi membangunkan loji pemprosesan di peringkat pertengahan. 


  1. Perkara ini selaras dengan keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bahawa rundingan bagi membangunkan loji pemprosesan di peringkat pertengahan perlu dibuat bersama dengan pihak China dan negara Barat. Kerajaan berpandangan ini merupakan pendekatan yang wajar dalam memastikan matlamat pembangunan industri REE negara dapat dicapai di samping mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai negara.

 

Sekian, terima kasih.​

Attachments