Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

06 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

40

Soalan

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Bin Mokhtar [ Kemaman ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah pendirian dan tindakan Kementerian terhadap cadangan penggunaan indikator baharu bagi mengukur perkembangan sektor ekonomi dan teknologi hijau iaitu Environmental Performance Index (EPI) dan Green Future Index (GFI) di mana ia turut digunapakai di negara-negara maju.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penggunaan Index Environmental Performance Index (EPI) dan Green Future Index (GFI) dalam mengukur perkembangan sektor ekonomi dan teknologi hijau negara perlu dilihat secara menyeluruh. Ini kerana data yang diperoleh untuk memenuhi indikator-indikator yang disediakan tidak diambil daripada data yang disahkan dan perbincangan antara pembangunan indikator dan negara yang dinilai  tidak dilaksanakan. 


  1. Meneliti indeks pengukuran EPI dan GFI di peringkat antarabangsa dan menyedari akan kepentingan untuk mengukur pencapaian alam sekitar negara secara menyeluruh, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam telah melaksanakan satu kajian yang dikenali sebagai Indeks Prestasi Alam Sekitar Malaysia (MyEPI). Bagi menjayakan pelaksanaan MyEPI ini, Kementerian telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai rakan strategik yang membantu melaksanakan kajian terperinci dalam membangunkan kerangka MyEPI dan juga bagi mengenalpasti indikator-indikator yang sesuai untuk digunakan bagi mengukur prestasi alam sekitar negara. Kajian ini telah bermula tahun 2021. 


  1. Penetapan indikator dan metodologi kajian ini adalah berdasarkan kepada kajian EPI yang dilaksanakan di peringkat global dan disesuaikan dengan keperluan negara serta mengambil kira keunikan rangka kerja institusi dan perundangan di Malaysia. 


  1. Laporan MyEPI Tahun 2021-2022 telah selesai dibangunkan. Skor purata indeks MyEPI peringkat kebangsaan berdasarkan kepada 23 indikator adalah 69.81%, yang mencapai penarafan tiga bintang daripada 5 bintang. Selain skor purata peringkat negara, MyEPI turut menyediakan sistem profil alam sekitar yang lengkap untuk tiga belas negeri dan tiga wilayah persekutuan Malaysia. Skor negeri-negeri adalah di antara 60% ke 78% dan kesemua negeri mencapai penarafan tiga bintang. Manakala Laporan MyEPI Tahun 2023-2024 dijangka akan siap pada Julai 2025. 


Sekian, terima kasih.​

Attachments