Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

06 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

38

Soalan

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah usaha pemerkasaan METMalaysia bagi mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada terutama dari segi perkongsian maklumat dengan Kerajaan negeri berpandukan model tinjauan iklim serta siren amaran banjir di stesen pencerapan cuaca permukaan sebagai kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1.           Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun bertanggungjawab memantau situasi cuaca negara dan akan mengeluarkan maklumat dan amaran sekiranya bencana berkaitan cuaca dijangka berlaku. Pejabat Meteorologi Negeri yang terdapat di seluruh negara sentiasa mengemaskini maklumat dan amaran cuaca kepada pihak Kerajaan Negeri serta pihak pengurusan bencana negeri.


 2.           Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, siren amaran awal banjir merupakan sistem pengurusan banjir di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). JPS mempunyai rangkaian stesen pencerapan cuaca hujan mereka sendiri yang terletak di sepanjang sungai-sungai yang berpotensi mengalami bencana banjir. Manakala rangkaian stesen pencerapan cuaca MET Malaysia yang berjumlah 433 buah pada ketika ini berada di lokasi yang berbeza, seperti di kawasan pertanian, lapangan terbang, bandar serta pelancongan. Sehubungan itu, data-data cuaca MET Malaysia adalah kurang relevan untuk digunakan oleh JPS bagi membantu mereka memantau bencana banjir.


3.           Walau bagaimanapun, MET Malaysia sentiasa berkongsi maklumat bagi membantu pihak JPS memantau dan mengeluarkan amaran bencana banjir. Antara maklumat utama yang telah dikongsi adalah data radar cuaca yang mencerap intensiti hujan pada masa sebenar. Bilangan stesen radar cuaca MET Malaysia telah ditambah daripada 12 unit sebelum tahun 2020 kepada 19 unit pada ketika ini, hasil daripada projek pembangunan RMK-11 dan 12. Data-data ini dikongsi terus dengan pihak JPS bagi membantu memantapkan operasi mereka di Pusat Ramalan Awal Banjir Nasional (PRABN). 


4.           Selain itu, MET Malaysia juga berkongsi maklumat yang dijana oleh model ramalan cuaca numerikal (Numerical Weather Prediction (NWP)) menggunakan teknologi Sistem Komputer Berprestasi Tinggi (High Performance Computing (HPC)) bagi membolehkan pihak JPS mengoperasikan model ramalan banjir mereka.  Sistem NWP MET Malaysia ini telah beroperasi sejak 2018 bagi menghasilkan ramalan cuaca sehingga 7 hari ke hadapan. Bagi memantapkan lagi sistem NWP ini, MET Malaysia dalam proses meningkatkan keupayaan teknologi HPC sedia ada kepada teknologi yang lebih terkini bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027. Dengan sistem HPC baharu ini, produk-produk ramalan boleh dihasilkan sehingga 14 hari ke hadapan dengan resolusi yang lebih tinggi pada 300 meter berbanding 1 kilometer sebelum ini bagi mendapatkan perincian yang lebih baik pada sesuatu kawasan yang dijangka mengalami bencana berkaitan cuaca.


5.           Perkongsian maklumat cuaca MET Malaysia dengan Kerajaan Negeri, agensi pengurusan bencana dan juga orang awam telah dibuat menggunakan pelbagai kaedah penyampaian. Seiring dengan perkembangan teknologi semasa, MET Malaysia telah membangunkan aplikasi mobil myCuaca yang dapat memberikan maklumat cuaca dan gempa bumi pada masa sebenar untuk diakses pada bila-bila masa. Selain itu, Jabatan juga menyampaikan ramalan dan amaran cuaca ini menggunakan pelbagai medium seperti media sosial (Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube), laman sesawang Jabatan dan media massa (televisyen dan radio). Selain itu, pegawai-pegawai MET Malaysia yang bertugas di negeri sentiasa bertindak secara proaktif dalam memberi khidmat nasihat apabila bencana cuaca dijangka melanda di sesuatu negeri.


6.           Dengan penambahbaikan berterusan yang dilakukan terhadap sistem ramalan cuaca negara, ia dijangka dapat menghasilkan ramalan yang lebih tepat dan seterusnya dapat membantu pihak Kerajaan Negeri, agensi pengurusan bencana serta orang awam untuk bertindak lebih awal dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin.


Sekian, terima kasih.​

Attachments