Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

06 February 2025

Tahun Persidangan

2025

Kategori

Geospatial

Nombor Soalan

23

Soalan

Tuan Tan Kar Hing [ Gopeng ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan usaha Kementerian dalam menangani krisis yang tidak terduga berkaitan pemasangan aset-aset utiliti yang berada di bawah tanah.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited untuk bekerjasama dan membantu pihak berkuasa serta agensi Kerajaan yang lain dalam usaha untuk menangani bencana atau krisis yang tidak terduga berkaitan pepasangan aset-aset utiliti bawah tanah. Dalam hal ini, NRES melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah melaksanakan beberapa inisiatif melibatkan pengurusan dan perkongsian data berkaitan utiliti bawah tanah seperti berikut. 


  1. Pertama, melalui pembangunan dan penyelenggaraan Pangkalan Data Utiliti Kebangsaan (PADU) yang berperanan mengumpul dan menyimpan data utiliti bawah tanah yang dibekalkan oleh penyedia perkhidmatan utiliti, Jabatan Kerja Raya (JKR), Juruukur Tanah Berlesen (JTB) serta pelbagai agensi lain. PADU merupakan pusat rujukan utama bagi mendapatkan maklumat kedudukan laluan utiliti bawah tanah bertujuan untuk membolehkan pasukan penyelamat membuat keputusan yang tepat dan pantas semasa situasi krisis atau bencana.


  1. Inisiatif kedua adalah melalui pewujudan Augmented Reality for Underground Utility Mapping Systems (ARUUMS) yang merupakan satu aplikasi mudah alih bagi membolehkan pengguna atau pasukan penyelamat mendapatkan gambaran berkaitan maklumat utiliti bawah tanah secara 3 dimensi (3D) dengan pantas secara real time. Kaedah pemetaan secara interaktif ini akan membolehkan data-data pemetaan utiliti bawah tanah disemak secara maya di lokasi bencana.


  1. Di samping itu, JUPEM juga telah mewujudkan satu Pusat Panggilan Setempat Utiliti Bawah Tanah (Underground Utility Call Centre) sebagai sebuah platform perkongsian data pemetaan utiliti bawah tanah dengan pihak-pihak yang memerlukan sebelum kerja-kerja pengorekan pepasangan utiliti dijalankan. Selain itu, ia juga boleh dimanfaatkan sebagai pusat rujukan sekiranya berlaku sebarang krisis atau bencana melibatkan pepasangan utiliti bawah tanah.


  1. Inisiatif keempat adalah penyediaan dokumen Peraturan Tetap Operasi (PTO) berkaitan bencana utiliti. Menyedari kepentingan mewujudkan mekanisme pengurusan bencana secara menyeluruh dan sistematik, JUPEM juga telah mengeluarkan dokumen Peraturan Tetap Operasi (PTO) Penyampaian Maklumat Geospatial Bencana yang merangkumi sepuluh (10) jenis bencana termasuk bencana utiliti. Melalui dokumen ini, satu garis panduan yang komprehensif disediakan untuk dipatuhi oleh semua pegawai JUPEM yang terlibat dalam pengurusan, penyampaian dan pengemaskinian maklumat geospatial kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sekiranya berlaku sebarang bencana yang melibatkan aset-aset utiliti.


  1. Melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini, data pemetaan utiliti bawah tanah yang lengkap dan komprehensif dapat disediakan, dikemaskini dan dikongsi dengan pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang terlibat seterusnya membantu memastikan pengurusan krisis atau bencana di negara ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.


Sekian, terima kasih.​

Attachments