Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 4 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 06 February 2025 | Tahun Persidangan | 2025 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 10 | Soalan | Puan Young Syefura binti Othman [ Bentong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan strategi Kementerian dalam memperkukuh Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan khususnya untuk mengenakan tindakan 'punitif' atau hukuman yang boleh diambil ke atas syarikat atau negara yang melanggar perjanjian ini berikutan Malaysia selaku pengerusi ASEAN pada tahun ini.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa komited dalam menangani masalah jerebu merentas sempadan. Sejak tahun 2023, NRES telah membuat penelitian semula pendekatan sedia ada dan mekanisme terbaik dalam menguruskan masalah ini secara holistik.
Pada 21 Disember 2023, Sesi Town Hall Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Bersama Pihak Berkepentingan Bagi Membincangkan Langkah Menangani Masalah Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan telah diadakan bagi mendapatkan cadangan dan pandangan pelbagai aspek dalam menangani masalah ini. Sesi town hall ini telah melibatkan Ahli Parlimen, Panel Penasihat dan Panel Konsultasi berkaitan alam sekitar, pakar-pakar undang-undang dan alam sekitar, pihak-pihak berkepentingan meliputi jabatan dan agensi kerajaan, akademia, wakil syarikat swasta dan dan pemain industri serta badan bukan kerajaan (NGO). Selanjutnya, sebanyak empat (4) sesi Mesyuarat Focus Group, tujuh (7) mesyuarat khusus dan perbincangan susulan telah diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan untuk meneliti kebolehlaksanaan dan kaedah pelaksanaan pelbagai cadangan ini.
Berdasarkan pelbagai sesi libat urus yang diadakan ini, NRES telah merangka 9 strategi utama bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan yang selanjutnya telah dibentangkan dan mendapat persetujuan Jemaah Menteri melalui mesyuarat bertarikh 25 Oktober 2024.
Bagi memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution – AATHP) dan selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025, NRES akan mengetengahkan dua (2) strategi iaitu berkaitan pelaksanaan diplomasi sains dan pemerkasaan dana jerebu mampan.
Perkara ini dicadangkan dengan mengambil contoh kejayaan pelaksanaan Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala (Multilateral Environmental Agreements – MEAs) seperti Protokol Montreal mengenai Bahan Penipis Lapisan Ozon dan United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) di peringkat antarabangsa yang antara lain menekankan keseimbangan komposisi antara data saintifik, fakta dan rundingan untuk menyokong proses membuat keputusan. Selain itu, dengan tersedianya dana jerebu mampan, pelaksanaan penyelidikan, penerokaan teknologi dan inovasi baharu dalam pembangunan infrastruktur, pelan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah gambut dapat dilaksanakan dengan efektif selaras dengan Artikel 16 - Kerjasama Teknikal dan Artikel 17 - Penyelidikan Saintifik di bawah AATHP.
Sehingga kini tiada tindakan punitif boleh dikenakan di bawah AATHP terhadap negara atau syarikat yang menyebabkan jerebu merentas sempadan. Sekiranya terdapat isu dan pertikaian di kalangan negara anggota, perkara tersebut perlu diselesaikan secara rundingan dan kesepakatan (amicable) berlandaskan prinsip ASEAN. Bagi mengatasi jurang ini, NRES berpandangan langkah pencegahan (preventive) dan langkah berjaga-jaga (precautionary) melalui pelaksanaan diplomasi sains, tindakan pencegahan kebakaran dan pemantauan berterusan dan ketersediaan dana jerebu yang mampan akan dapat memastikan pengurusan jerebu merentas sempadan yang efektif di bawah perjanjian ini.
Kerajaan juga akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama diplomatik dengan negara anggota ASEAN khususnya Indonesia. NRES optimis untuk bekerjasama dengan tampuk kepimpinan Kerajaan Indonesia yang baharu dengan mengambil contoh pendekatan beberapa perjanjian dan kerjasama dua hala yang berjaya dilaksanakan di peringkat antarabangsa seperti Perjanjian Kualiti Udara antara Amerika Syarikat dan Kanada serta kerjasama antara Korea Selatan dan China dalam pengurusan isu kualiti udara di kedua-dua negara. Antara bidang kerjasama yang akan diketengahkan melalui kerjasama dua hala berkaitan alam sekitar ini adalah pengurusan tanah gambut lestari dan pengurusan kualiti udara. Bidang kerjasama ini akan diperluaskan dari semasa ke semasa berdasarkan persetujuan bersama kedua-dua negara. Sebagai langkah mengawal pencemaran jerebu dalam negara (domestik), Kerajaan akan terus mempertingkatkan pemantauan kawasan berisiko terbakar termasuk tanah gambut dan melaksanakan penguatkuasaan pembakaran terbuka secara bersepadu. Kerjasama dengan kerajaan negeri juga telah diperkukuh melalui penglibatan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan bagi membincangkan isu ini secara menyeluruh.
Sekian, terima kasih. | | Attachments |
|
|