Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok telah mencapai sasaran penanaman sebanyak 100 juta pokok setahun lebih awal, yang mana penanaman simbolik pokok ke-100 Juta telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri pada 10 Disember 2024 yang lalu di Taman Herba, Parlimen Malaysia.
2. Sehingga 5 Februari 2025, jumlah penanaman adalah sebanyak 109,276,202 pokok. Walaupun sasaran jumlah penanaman telah berjaya dicapai, kempen ini akan diteruskan sehingga akhir tahun 2025 bagi merealisasikan objektif penting dalam kempen ini, iaitu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan serta memupuk semangat cintakan alam semula jadi.
3. Pada tahun ini, tumpuan aktiviti akan melibatkan usaha pemulihan melalui rawatan di beberapa kawasan penanaman di bawah program ini. Langkah ini bertujuan memastikan kadar pertumbuhan pokok yang ditanam berada dalam keadaan optimum serta menyokong pemuliharaan ekosistem semula jadi. Selain itu, aktiviti penanaman pokok baharu akan diteruskan secara berterusan untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri mencapai sasaran penanaman yang telah ditetapkan di setiap negeri di bawah pelaksanaan program ini.
4. Di samping itu, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak sedang meneliti dan merencana hala tuju pelaksanaan program ini selaras dengan keperluan dan objektif Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang akan menjadi panduan utama bagi kesinambungan program pemuliharaan hutan dan penanaman pokok pada masa hadapan.
Sekian, terima kasih.