Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli YB Dr. Xavier Jayakumar mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Pahang YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail bagi memuktamadkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan Dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang.
Dokumen tersebut merangkumi empat aspek iaitu memastikan pelaksanaan aktiviti perlombongan secara mampan. Kedua; menguruskan dengan teratur permohonan aktiviti berkaitan pelombongan dan pengeksportan, ketiga; menjalankan penguatkuasaan ke atas ketidakpatuhan SOP mengikut bidang kuasa masing - masing dan keempat; melaksanakan pemantauan bersama.
Dokumen SOP ini telah pun diteliti oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian yang terdiri dari pakar-pakar akademik, wakil pemain industri dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menilai secara bebas dan holistik dokumen SOP untuk mewujudkan aktiviti perlombongan yang mampan, dengan mengutamakan perlindungan terhadap alam sekitar dan masyarakat umum.
SOP yang telah mengambilkira pandangan semua pihak berkepentingan ini mengenakan syarat-syarat yang ketat merangkumi seluruh rantaian aktiviti perlombongan bermula dari peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan juga pasca perlombongan.
YAB Menteri Besar Pahang turut menyatakan persetujuan dan pihak Kerajaan negeri Pahang akan memberikan komitmen yang tinggi dalam menguatkuasakan SOP ini.
Walaupun SOP ini dikhususkan untuk Negeri Pahang, KATS akan turut memperluaskan pemakaiannya ke seluruh negara melalui dokumen SOP yang lebih umum, namun mengekalkan prinsip-prinsip utama seperti keluasan minimum tapak perlombongan, kaedah pengangkutan, tapak penyimpanan stokpil, pengeksportan dan lain-lain.
#BauksitPahang
#SOP

