YB Dr. Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli telah merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 bertempat di Hutan Simpan Kuala Bernam, Daerah Sabak Bernam pada hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli YB Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji, YBhg. Dato’ Dr. Tan Yew Chong, Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Amb. Maria Castillo Fernandez, Duta dan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia; YB Hee Loy Sian, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi & Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna mewakili Menteri Besar Selangor; YB Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya, Setiausaha Kerajaan Negeri dan YBhg. Dato’ Nor Akhirrudin bin Mahmud, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia.
Negeri Selangor dipilih sebagai tuan rumah bagi kedua-dua sambutan ini dengan tema sambutan adalah “Hutan untuk Kesejahteraan Masyarakat (Forests for Community Livelihood).”
Pengisytiharan Hari Perhutanan Sedunia telah dipersetujui oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada 21 Mac setiap tahun. Tarikh 21 Mac ini dipilih kerana ia merupakan hari pertama bermulanya musim bunga di Hemisfera Utara di mana pokok-pokok mula bertunas semula dan menghijau setelah melalui tempoh dorman sepanjang musim sejuk.
Sambutan Hari Perhutanan Sedunia pertama di Malaysia ialah pada tahun 1984 bertempat di Negeri Kedah. Bermula pada tahun 2013, Hari Perhutanan Sedunia dikenali sebagai Hari Hutan Antarabangsa (International Day of Forests). Perubahan nama ini adalah selaras dengan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations General Assembly) pada bulan November 2012. Malaysia telah menyambut Hari Hutan Antarabangsa yang pertama pada tahun 2013 di Negeri Pahang Darul Makmur. Sementara itu, Sesi Ke-38 Persidangan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) pada 6 November 2015 di Paris telah mengisytiharkan 26 Julai setiap tahun sebagai Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa.
Pengisytiharan sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat untuk memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut termasuklah kawasan pesisiran pantai bagi memastikan kelangsungan peranan serta sumbangannya kepada kesejahteraan masyarakat sejagat. Malaysia telah menyambut Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa pertama kalinya di Hutan Eko-Pelajaran Kuala Sepetang, Matang, Taiping, Perak pada 18 Ogos 2016.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan semasa majlis perasmian termasuklah pelancaran sistem e-PESISIR. Aplikasi web-GIS ini dibangunkan bagi memudahkan perancangan, pemantauan dan penyimpanan rekod bagi kawasan-kawasan yang telah dipulihkan di dalam projek pesisiran pantai. Aplikasi ini dibangunkan dengan kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) yang mencakupi tapak-tapak projek di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Sejumlah 5,000 pokok spesies hutan paya laut turut ditanam sempena sambutan pada kali ini. Antara pokok yang akan ditanam adalah Api-api Jambu (Avicennia marina), Perepat (Sonnertia alba), Lenggadai (Bruguiera parviflora), Bakau Minyak (Rhizophora apiculate) dan Bakau Kurap (Rhizophora mucronata). Turut diadakan ialah pengagihan 500 anak pokok spesies nadir seperti Asam Gelugor dan Jambu Bol kepada penduduk kampung di sekitar Sungai. Hj. Dorani.

