12 Julai 2022 - Hari ini diadakan program Mesra Rakyat Keluarga Malaysia (Zon Tengah) KeTSA 2022 bertempat di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Mukim Trong, Daerah Larut Matang dan Selama, Perak Darul Ridzuan. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk membawa dan memperkenalkan KeTSA kepada masyarakat khususnya di Mukim Trong Daerah Larut Matang dan Selama Perak.
Program yang berkonsepkan “turun padang” ini memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali KeTSA dengan lebih dekat selain dapat memahami fungsi serta perkhidmatan yang diberikan oleh KeTSA serta Jabatan dan Agensi dibawahnya kepada kumpulan sasar. Terdapat sebanyak 11 reruai pameran daripada Jabatan dan Agensi di bawah KeTSA yang menyertai program ini. Pengunjung pada masa yang sama dapat berhubung terus dengan Jabatan dan Agensi di bawah KeTSA ini bagi urusan-urusan yang berkaitan dengan perkhidmatan yang ditawarkan.
Acara simbolik penanaman beberapa anak pokok sempena “Program Penghijauan Malaysia” juga turut diadakan. Acara ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
Anggaran keseluruhan jemputan program adalah seramai 1,550 orang yang terdiri daripada jemputan Jabatan/Agensi di bawah KeTSA dan penyertaan wakil penduduk serta komuniti setempat.